
Kuala Terengganu: Seramai 30 penduduk miskin termasuk 4 warga emas di Dungun dan Hulu Terengganu terharu menerima sumbangan keperluan harian semperna Konvoi Merdeka Proton Club (ProCC) Malaysia 2010, disini, kelmarin.
Konvoi bertemakan "Jelajah Negeri Terengganu" selama tiga hari membabitkan daerah Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu bermula Jumaat lalu disertai kira-kira 60 kenderaan keluaran Proton membabitkan ahli lebih 150 orang.
Presiden ProCC, Mohd Hifni Bin Mohd Ghazali, berkata konvoi tahunan berkenaan diadakan semperna menyambut bulan kemerdekaan. "Sehingga kini kami mengadakan konvoi sama tujuh kali dan tahun ini Terengganu terpilih sebagai tuan rumah selepas karnival sama diadakan di Perak tahun lalu", katanya.
Beliau berkata, selain mengeratkan silaturahim dan semangat cintakan negara sesama ahli, peserta turut berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berdasarkan tempat dilawati khususnya kawasan peninggalan sejarah.
"Bagi program konvoi kali ini, kita membawa peserta melawat Pusat Santuari Penyu di Rantau Abang, Dungun selain Batu Bersurat di Kampung Buloh, Hulu Terengganu dan ia memberi kesan mendalam kepada peserta yang kebanyakannya dari luar Terengganu".
"Kita juga memberi sumbangan kepada penduduk miskin pilihan jawatankuasa di setiap kampung yang menjadi tempat persinggahan peserta," katanya.




ProCC Act 2002

